Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apatah lagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah turut memikul dosa ghibah kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah atau menerima dengan hatinya. Apabila ada kesempatan, maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah itu dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat.” (Hadis riwayat Muslim). Jelasnya, ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, malah setiap gerakan, isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang difahami sebagai hinaan.
Mendengar orang yang sedang ghibah dengan kagum dan menyetujui apa-apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah.
Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan diberikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana boleh mengakibatkan putus ukhuwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib, lahir kehinaan dan timbul keinginan untuk melakukannya.

No comments:
Post a Comment